Rabu, 29 Januari 2014

Salam Amba

SALAM AMBA

memang tiada cita-cita, pun hasrat
apalagi memohon restu datang berkhidmat
...
namun takdir telah mencatat
bahawa engkau, wahai Maniyamin,
dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang,
dari Kota Bharu ke Tawau
dan kini kembali ke Kuala Lumpur
adalah tempat engkau berkhidmat

ya, inilah sekalian tempat
aku menabur ilmu amanah Ilahi
aku tanam benih puisi di jiwa insani
aku baja pohon cita-cita di kebun pedagogi
semuanya dengan satu hasrat - demi Ilahi
semoga ia subur berkembang mendaulati diri
pada engkau yang menerima dan aku yang memberi

besar manusia bukan kerana makan
atau berulang tapak memijak pasir Mekah
atau duduk di atas kerusi jati dari seberang
atau marah-marah buat menakutkan lawan
wahai Maniyamin
besar engkau kerana jasa mengorangkan manusia
dari benih sebesar zarah nikmatnya sebesar dunia
kerana engkau dilahirkan
menanam benih ilmu membaja pohon intelektual
maka engkau seharusnya menjadi seorang petani bijaksana
kekal menjadi aset di Kebun Syurga

seperti nyawa tak kekal di badan
aku tinggalkan IPGKT yang merezekikan pengalaman
tanah Balung yang hitam kehitaman
selamat tinggal
selamat tinggal sawit saujana memandang
selamat tinggal bangau memutih dedaunan
selamat tinggal helang putih dan kera merah
selamat tinggal ikan-ikan di Pasar Kunak
selamat tinggal bilis-bilis di Inderasabah
selamat tinggal Tamu Jalan Apas
selamat tinggal payau di Tamu Takada
selamat tinggal Air Asia dan Mas Tawau
selamat tinggal kain tak sempat sampai
selamat tinggal ghaout diam-diamlah engkau di sini duduk
selamat tinggal Utusan Borneo
selamat tinggal
kita berpisah tanpa lepas

terima kasih atas jasa dan pertolongan tuan-tuan
saya bermohon seikhlas kemaafan
semasa dan selepas ini kunjungan
Tuan Pengarah – Puan Hajah Mazni Binti Madat,
Tuan Timbalan – Dr. Mohd Johan Zakaria, Encik Anuar Ahmad

dan Tuan Haji Mohd Zin Badui
mantan KJPM – encik Mhd Yusuf Zakaria dan ahli jabatan
rakan-rakan pensyarah dan staf sokongan
Pakcik Pengawal keselamatan
dan pelajar sekalian
semoga hidup tuan-tuan dirahmati Allah
jasa tuan-tuan membuka pintu Syurga
dan amba pulang hanya membawa karung pahala.

Terima kasih kepada Kelab Pensyarah
kerana menganjur majlis yang sedemikian mesra
dan menjemput amba sekeluarga
ramai bertanya, ‘siapakah kabel amba gunakan’
inilah dia kabel, anak amba
bertubuh kecil, namun besar kuasa!
lemah tetapi menakutkan ibu bapa

akhir salam
kalau ada jarum yang patah
jangan disimpan dalam peti
pada sekian silap dan salah
amba bermohon dimaaf-maafi.

MANIYAMIN BIN IBRAHIM
23 JANUARI 2014

Isnin, 13 Januari 2014

Mesyuarat JPM Bil.1/2014

Dalam kesibukan pensyarah menguruskan kuliah dan segala macam pengurusan akademik, alhamdulillah JPM berjaya mengadakan Mesyuarat JPM Bil. 1 tahun 2014. Antara yang dibincangkan ialah Perancangan Strategik Aktiviti JPM tahun 2014, pengagihan subjek dan jadual kuliah, pengagihan tugas dan sebagainya. Mesyuarat adalah kali terakhir buat Encik Maniyamin Ibrahim sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu kerana beliau bakal berpindah ke IPG Kampus Bahasa Melayu pada akhir Januari.

Kepada semua, selamat bertugas dengan azam dan komitmen baharu. Sama-samalah menjadi aset jabatan, bukannya liabiliti jabatan.

Khamis, 2 Januari 2014

Perbincangan Moderasi Kerja Kursus

Memulakan aktiviti pada tahun baharu 2014, JPM telah mengadakan Perbincangan Moderasi Kerja Kursus Projek semester 1 tahun 2014. Sebanyak tiga kerja kursus telah dibentang, dibedah dan dibincangkan kewajarannya. Kerja kursus tersebut ialah untuk kertas GBM1103 Bahasa Melayu Kontekstual yang dibentangkan oleh Encik Maniyamin bin Ibrahim, kerja kursus BMM3113 Penyelidikan Tindakan 1 yang dibentangkan oleh Puan Yuznaili binti Saleh, dan BMM3104 Pengajaran Kemahiran Bahasa yang dibentangkan oleh Encik Abdullah bin Musa. Ahli jabatan yang hadir ialah Encik Maniyamin bin Ibrahim, Encik Abdullah bin Musa, Puan Yuznaili binti Saleh dan Encik Mazania bin Kasimin.

Sabtu, 9 November 2013

Siri Perkongsian Ilmu 1


Patimah Haji Dullah
Bertempat di Bilik Sri Danum, JPM telah menganjurkan Siri Perkongsian Ilmu 1 kepada ahli-ahli jabatan. Dalam siri ini telah disempurnakan empat sesi perbincangan, iaitu;

 
a) Sesi 1: Binaan RPH KBSR dan KSSR Bahasa Melayu (jam 9.00 – 10.00 pg), dihoskan oleh Hajah Patimah inti Haji Dullah,

b) Sesi 2: TMK dalam Bahasa Melayu (jam 10.00 – 11.00 pagi), iaitu berkaitan Proforma baharu BMM3105 Pengajaran Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer, telah dihoskan oleh Mohd Bin Bodot,

c)   Siri 3: KSSR Bahasa Melayu Tahun Empat (jam 11.00 – 12.00 tgh), telah dihoskan oleh Mazania Bin Kasimin,

d)  Siri 4: Apresiasi Puisi Tradisional (jam 12.00 – 1.00 ptg), dihoskan oleh Mazania Kasimin.
Mohd Bodot dan Mazania
Empat Siri Perkongsian Ilmu yang diadakan pada 4 Oktober 2013 adalah sebagai memenuhi kursus dalaman kepada para ahli jabatan, di samping menyebarka ilmu-ilmu baharu yang ditimba dalam kursus anjuran IPGM. Semoga Siri Perkongsian Ilmu ini akan memberi manfaat berganda kepada ahli. 
 
 

Selasa, 5 November 2013

Buletin 10



Buletin 10 merupakan keluaran terakhir penyebaran maklumat yang diusahakan oleh JPM (IPGKT) bagi tahun 2013. Keluaran kali ini membincangkan tentang pengucapan salam yang diamalkan dalam masyarakat Melayu, khususnya di Malaysia. Berdasarkan pengamat, didapati ada tiga jenis salam, iaitu (a) salam wajib, (b) salam tidak ikhlas, dan (c) salam retorik. Daripada tiga jenis salam itu, salam (a) menepati kehendak Islam, manakala salam jenis (b) boleh membawa kemudaratan, dan salam jenis (c) tidak mempunyai nilai, namun tidak memudaratkan. Dalam Ruangan Aktiviti Jabatan pula dimuatkan Bengkel Pemantapan Tatabahasa: Ragam Ayat yang disampaikan oleh Encik Abdullah Musa sebagai fasilitatornya. Dalam bengkel ringkas ini diberikan aspek-aspek kesalahan yang sering dilakukan dalam mengenali ragam ayat. Manakala, dalam Ruangan Sajak pula memuatkan sajak berjudul "Orang Ceruk!" yang dihasilkan oleh Encik Sani Ali (Abdullah Sani). Beliau merupakan pensyarah di Jabatan Kajian Sosial.

Jumaat, 1 November 2013

Buletin 9

Buletin 9 membicarakan tentang penggunaan perkataan 'kepada,' sajak hasil karya Cik Sefiah Abdul Kahar dan aktiviti jabatan. Ramai pengguna bahasa bertukar penggunaan antara perkataan 'kepada' dengan perkataan 'pada.' Dalam anekdot kecil ini dinyatakan syarat penggunaannya, sebagai panduan para pensyarah di IPGKT. Contohnya, ayat, "Emak kirim salam 'pada' kakak" adalah salah. Ayat sepatutnya, "Emak kirim salam 'kepada' kakak." Hal ini kerana istilah 'kepada' digunakan terhadap manusia. Dalam Ruangan Sajak disiarkan sajak Cik Sefiah Abdul Kahar, mantan pensyarah di JPIPK. Sajak ini telah beliau deklamasi sempena majlis perpisahan. Beliau kini bertukar ke IPGK Kent. Manakala Ruangan Aktiviti Jabatan menyiarkan berita 'Induksi Modul Kursus Pendek Kelolaan Institut' disampaikan oleh Puan Yuznaili Binti Saleh sebagai fasilitatornya.

Selasa, 29 Oktober 2013

Buletin 8

Fokus Buletin 8 ialah terhadap lagu rakyat. Dalam masyarakat Melayu, lagu rakyat (salah satu genre dalam sastera rakyat) memainkan peranan penting bagi mesosialisasikan manusia. Pembinaan orang, dari kecil hingga dewasa, banyak dibantu oleh unsur-unsur budaya, selain manusia persekitaran itu sendiri. Salah satu unsur budaya berkenaan ialah lagu rakyat. Fungsinya sebagai hiburan dan sekali gus sebagai pendidikan. Malah, melalui lagu rakyat juga kita dapat memahami struktur masyarakat dan nasionalisme masyarakat di sesuatu tempat. Dalam anekdot lagu rakyat ini, fokus diberikan ialah terhadap Lagu Jambatan Tamparuli. Dalam Ruangan Aktiviti Jabatan pula dimuatkan Bengkel Kerja Morfologi dan Sintaksis yang dikendalikan oleh Encik Abdull Manaf bin Ahmad.
 

Jumaat, 25 Oktober 2013

Kursus Interaktif

Jabatan Pengajian Melayu, Jabatan Bahasa, Jabatan Teknologi Pendidikan dan Jabatan Kajian Sosial mengikuti Kursus Penggunaan Papan Putih Interaktif pada 22 November 2013 bertempat di Bilik Za'ba 23.
 
Kursus ini bagi mendedahkan dan mempertingkatkan mutu dan keberkesanan pengajaran para pensyarah.
 
Kursus satu hari ini disampaikan oleh Encik Benn sebagai fasilitator. Encik Benn merupakan wakil syarikat pembekal peralatan berkenaan.
 
Kursus ini mendedahkan cara penggunaan LCD dan papan putih pintar dengan betul serta program-program interaktif yang dapat dimanfaatkan dalam pengajaran. Misalnya berkenaan Dual-Touch Board, Lite-Touch Board dan cara menggunakannya.
 

Rabu, 23 Oktober 2013

Buletin 7


BULETIN 7 memberi focus terhadap sumbangan Encik Abdul Nasir Haji Paisal, sebagai mengenang jasanya kepada JPM. Beliau merupakan Pensyarah Cemerlang gred DG48. Encik Abdul Nasir merupakan seorang penulis muda di Sabah yang meningkat naik. Bidang penulisannya ialah sajak, cerpen dan esei akademik. Di halaman hadapan dimuatkan dua sajak dan sedikit biodata beliau yang pernah disiarkan dalam Utusan Borneo pada 21 April 2013. Tahniah. Manakala di halaman dua memuatkan tulisan beliau berkenaan proses kreatif, dengan judul "Bagaimana Saya Menulis?" Kini Encik Abdul Nasir Haji Paisal telah berpindah kerja sebagai jurulatih SISC+ di Pejabat Pendidikan daerah Semporna. Selamat bertugas di tempat baharu, tuan.

Selasa, 22 Oktober 2013

Buletin 6




















Fokus utama keluaran BULETIN 6 ialah terhadap penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat tempatan. Di Tawau terdapat bas mini yang menamakan dirinya, mungkin syarikat, sebagai "Bas Berhenti-Henti" yang terpapar di badan bas. Ada juga sebilangan kecil yang mencatatkan sebagai "Bas Henti-Henti." Penggunaan frasa ini bersamaan dengan iklan keselamatan di jalan raya pada tahun 1990-an, iaitu "Berhati-Berhati di Jalan Raya." Iklan ini mendapat reaksi pelbagai pihak berkaitan penggunaan bahasa. Frasa "Bas Berhenti-Henti" di badan bas mini di Tawau bersamaan dengan frasa iklan berkenaan. Frasa yang manakah benar dan tepat penggunaannya telah dibincangkan dalam Buletin 6. Dalam Ruangan Aktiviti jabatan pula merakamkan aktiviti Bengkel Kerja Fonologi, Fonetik dan Semantik. Bengkel ini dilaksanakan pada 17 Jun 2013, khusus untuk pensyarah di JPM. Fasilitatornya, Encik Pati Anak Alap. Namun, kini Encik Pati telah berpindah ke IPG Kampus Tun Abdul Razak, Sarawak.

Isnin, 21 Oktober 2013

Buletin 5




















BULETIN 5 memberi fokus terhadap gaya kepemimpinan di sekolah. Padangan ini berdasarkan pengalaman Guru Besar, SK. Bukit Lalang, Semporna, Tuan Haji Ramli Saad. Menurut beliau, amalan pentadbiran di SK Bukit Lalang ialah gaya kepemimpinan demokratik dan Islamik. Amat diterapkan amalan muafakat dan kolaboratif dalam kalangan pentadbir dengan kakitangan, dan kakitangan dengan kakitangan. Mengadakan siri motivasi membaca al-Quran setiap hari dan bacaan Yassin pada hari Jumaat. Pentadbir sentiasa menghargai sumbangan kakitangan yang Berjaya melaksanakan tugas mereka. Satu daripada perumpamaan menarik yang diberikan ialah guru ibarat madu menjadi penawar segala jenis 'penyakit'. Manakala di Ruangan Aktiviti Jabatan pula dimuatkan berita Bengkel Praktikum Bahasa Melayu. Bengkel ini disampaikan oleh Hajah Patimah Binti Dullah kepada pelajar Unit Bahasa Melayu.  Ia sebagai persiapan diri para pelajar menjalani praktikum yang lebih berkesan.

Rabu, 2 Oktober 2013

Pertandingan Pidato integriti 2013

Jabatan Pengajian Melayu dan Jabatan Bahasa telah menganjurkan Pertandingan Pidato Integriti 2013 peringkat IPGKT. Seramai 49 orang pelajar PISMP Tesl semester 2 telah menyertai pertandingan. Enam orang daripada mereka masuk ke peringkat akhir.


En. Mazania Kasimin, Ketua Panel Hakim
Pertandingan peringkat saringan berlangsung pada 17 dan 18 September, manakala pertandingan peringkat akhir pada 24 September 2013. Johan telah dimenangi oleh Azmirah Shafika binti Mohd Azman, Naib Johan (Nordiyanah Binti Nordin), Ketiga (Hasnol Bin Lahap) tiga Hadiah Penghargaan dimenangi oleh Cecilia Demish, Azri Hazim Bin Abu Bakar dan Aiifa Taqinah Binti Abu Bakar.


Selasa, 24 September 2013

Bengkel Pemantapan Tatabahasa: Ragam Ayat


Fasilitator kursus, Tuan Haji Abdullah Musa
Ilmu tatabahasa bahasa Melayu sering kali dipandang mudah. Namun, ilmu ini sebenarnya sukar difahami, walaupun oleh penutur jati sendiri. Menyedari hakikat ini, Jabatan Pengajian Melayu menganjurkan satu bengkel khusus tentangnya kepada ahli-ahli jabatan pada 13 September 2013.

Bengkel bertujuan memantapkan lagi penguasaan tatabahasa, khususnya tentang ragam ayat, telah dikendalikan oleh Penolong Ketua Jabatan, Tuan Haji Abdullah bin Musa, sebagai fasilitator.

Menurut Tuan Haji Abdullah bin Musa, sekurang-kurangnya terdapat tujuh kata kunci bagi mengenal ragam ayat, sama ada ayat berkenaan tergolong dalam ragam aktif atau pasif. Tujuh kata kunci tersebut ialah polanya berbentuk FN + FK; pada kata kerjanya terdapat imbuhan meN- atau ‘di’; bagi perkataan ‘makan,’ ‘mohon,’ dan ‘minum’ tidak mempunyai imbuhan; predikatnya mempunyai kata kerja sebagai inti; dan ayat aktifnya boleh dipasifkan.

Masalah utama dalam ilmu ragam ayat ialah mengenali ayat aktif transitif dan ayat aktif tidak transitif. Berkenaan hal ini, Tuan Haji Abdullah menegaskan bahawa perlu dicari kata kerja dan kata kerja ayat aktif transitif adalah boleh dipasifkan. Manakala bagi ayat aktif tidak transitif boleh disongsangkan, tetapi tidak boleh dipasifkan.

“Dalam ayat aktif tidak transitif terdapat frasa sendi. Misalnya ayat: ‘Saya bertugas di IPG Kampus Tawau’,” ujarnya.

Khamis, 19 September 2013

Bengkel Penulisan Modul


Pada 6 - 8 September 2013, Jabatan Pengajian Melayu dan Jabatan Bahasa dengan kerjasama Unit Pembangunan Staf IPG Kampus Tawau menganjurkan Bengkel Penulisan bertempat di Hotel Marco Polo, Tawau. Peserta dikehendaki menghasilkan, sama ada secara individu atau solo, sebuah modul pembelajaran. Mereka diberikan kebebasan untuk memilih tajuk-tajuk berasaskan subjek yang menjadi proforma PISMP. Bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris.

Pertandingan Pidato Integriti 2013

Mesyuarat jawatankuasa penganjur
Dimaklumkan bahasa Jabatan Pengajian Melayu dan Jabatan Bahasa, IPG Kampus Tawau dengan tajaan Institut Integriti Malaysia (IIM) menganjurkan program di atas. Penyertaannya adalah terbuka kepada semua pelajar semester 2. Tajuk pidato (pilih satu sahaja) ialah;
  1. Perpaduan teras dalam usaha menjayakan gagasan 1Malaysia
  2. Pelajar IPG pembentuk masyarakat berintegriti
  3. Penghayatan integriti mampu menjayakan konsep 1Malaysia
  4. Gagasan iMalaysia boleh diperkukuh melalui penghayatan sejarah negara, dan
  5. Pelajar pewaris kepimpinan berkualiti.
Hadiah tempat pertama sebanyak RM100, kedua (RM80) dan Ketiga (RM50). Pelajar yang berminat, sila ambil Borang Penyertaan dan syarat-syarat pertandingan daripada Encik Maniyamin bin Ibrahim di Bilik Jabatan Pengajian Melayu.

Tarikh pertandingan dijadualkan pada 24 September 2013 pada pukul 2.00 petang bertempat di Dewan al-Jabar. 

Selasa, 17 September 2013

Cuti Belajar

Encik Abdullah Musa dan Encik AffendyYusof
JPM bakal kehilangan seorang lagi ahli. Kali ini Encik Effendy Yusof (Pensyarah Cemerlang 48) bakal meninggalkan IPGKT buat sementara waktu kerana cuti belajar pada pertengahan September ini. Beliau akan menyambung pelajaran peringkat ijazah ketiga, Doktor Falsafah, di UPSI dalam bidang kebahasaan etnik. Kami sangat berbangga dengan semangat beliau, dan diucapkan semoga beliau berjaya mencapai cita-citanya. Terima kasih kerana menjamun kami dengan masakkannya sendiri.

Isnin, 29 Julai 2013

Bertukar

Pati Anak Alap
JPM menyambut semester 2 tahun 2013, dengan kehilangan dua orang pensyarah yang didikasi.
Pertama, Encik Pati Anak Alap yang bertukar ke IPG Kampus Tun Abdul Razak.
Abdul Nasir Hj. Paisal
Kedua, Encik Abdul Nasir bin Haji Paisal yang bertukar ke PPD Semporna.
Encik Pati yang baharu berkhidmat di IPGK Tawau pada awal Februari 2013. Beliau ditugaskan mengajar WAJ 3115 Bahasa Melayu Komunikatif 1 dan BMM 3110 Sintaksis Bahasa Melayu. 


Manakala Encik Abdul Nasir merupakan Pensyarah Cemerlang DG48. Seorang yang pendiam dan serius menjalankan tugas. Kini beliau bertugas sebagai SISC Bahasa Melayu. 
 

Isnin, 24 Jun 2013

Bengkel Kerja Fonologi, Fonetik dan Semantik



Pada 17 Jun 2013, JPM menganjur kursus dalaman yang dinamakan sebagai Bengkel Kerja Fonologi, Fonetik dan Semantik kepada para ahlinya.Kursus yang diadakan di Dewan Seri Kinabalu ini telah disampaikan oleh Encik Pati Anak Alap sebagai fasilitator.

Encik Pati Anak Alap
Untuk makluman pembaca, ilmu fonologi adalah merujuk tentang sistem perlambangan bunyi bahasa, manakala fonetik merujuk kepada cara penghasilan bunyi bahasa, dan semantik pula merujuk kepada makna bahasa. Dalam ilmu bahasa, ketiga-tiga aspek ini tidak boleh terpisah.

Kursus ini merupakan sumbangan terakhir Encik Pati Anak Alap kepada rakan-rakan sejawat di JPM dan IPGK. Hal ini kerana dalam semester 2 tahun 2013, beliau akan bertugas di JPM, IPG Kampus Tun Abdul Razak, Sarawak. Beliau mula bertugas di IPG Kampus Tawau pada akhir Januari 2013.

Kami di JPM, IPGKT mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbangan beliau di sini, yang sempat mengajar kertas WAJ3115 Bahasa Melayu Komunikatif 1 dan BMM3110 Sintaksis Bahasa Melayu. Beliau seorang ‘silent worker.’ Sesungguhnya, perpindahan beliau amat merugikan kami.

Selasa, 18 Jun 2013

Buletin 4


Buletin Bilangan 4 memberi fokus terhadap aspek parodi. Isu ini jarang diperkatakan, namun sering diamalkan dalam kehidupan kita, baik dalam dunia hiburan mahupun dalam kehidupan harian.Walaupun parodi tidak salah, namun aspek pengamalannya perlu dibatasi dengan moral. Hal ini sesuai dengan adat budaya kita yang mementingkan ketinggian moral sebagai amalan diri.  

Selasa, 14 Mei 2013

Pedagogi Pedalaman

Kursus Pengajaran Pedagogi Pendalaman telah dilaksanakan kepada pelajar-pelajar DPLI (Bahasa Melayu dan Pemulihan) ambilan Januari 2012. Mereka akan tamat pengajian di IPGKT sekitar bulan Jun 2013, selama tiga semester. Disebabkan mereka bakal mengajar di sekitar pendalaman Sabah dan Sarawak, maka didedahkan suasana persekolahan dan pedagogi di sekolah pendalaman.
Untuk kursus ini, dua orang pensyarah dari JPM terlibat sebagai fasilitator. Mereka ialah Encik Maniyamin bin Ibrahim, dan Encik Abdullah bin Musa. Bakal-bakal guru ini didedahkan dengan pelbagai teknik pengajaran bahasa yang sesuai digunakan di sekolah pendalaman.
Semoga dengan pendedahan awal itu akan sedikit-sebanyak memberi inspirasi dan pengetahuan kepada bakal-bakal guru untuk menangani masalah yang mungkin mereka hadapi.    

Isnin, 13 Mei 2013

Lawatan Penanda Aras BIG Semester 5

SEMPORNA: Pada 26 Februari 2013 (Jumaat), seramai 21 orang prlajar dari kelas PISMP Bahasa Melayu Semester 5 IPGK Tawau telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke SK. Bukit Lalang, diiring, Encik Abdul Nasir Hj. Paisal.

Rasional lawatan adalah untuk  mendedahkan pelajar mengenai sistem pengurusan di sekolah, pengurusan organisasi sekolah cemerlang, menggalakkan kerjasama, di samping memupuk fikiran positif dan motivasi dalam kalangan pelajar.

Antara objektif lawatan adalah untuk meningkatkan disiplin dan rasa tanggungjawab diri dalam kalangan pelajar agar lebih berkeyakinan dan sabar, mengamalkan komunikasi sosial yang tinggi melalui kerja interaksi bersama-sama pihak pentadbir dan pengurusan sekolah, melatih diri dalam mengurus sesuatu program, memberi pengalaman mengenai pengurusan organisasi yang lebih efisien dan melatih pelajar lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang telah diberikan.

Menurut Pengarah Program, saudari Elezebith Jumin, BIG kali ini telah dapat mencapai objektif yang telah dirancang. Hal ini disebabkan oleh pengisian yang disediakan oleh pihak sekolah memenuhi keperluan proforma Bina Insan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Antara pengisian ialah ceramah berhubung gaya kepemimpinan sebagai teladan kepada para pelajar. Sebagai balasan, para pelajar pula melaksanakan beberapa aktiviti untuk murid-murid. Antaranya ialah aktiviti Suluh Budiman, Guru Kecil, Modul I’Fon, dan Amalan Positif.

Khamis, 2 Mei 2013

Bengkel Kumpulan Inovatif Kreatif


Bertempat di Bilik Seri Kinabalu dan Makmal Komputer IPGKT, JPM telah menganjur bengkel di atas kepada ahli-ahli jabatannya pada 18 Januari 2013.

Bengkel yang menampilkan fasilitator Encik Abdul Nasir bin Paisal dan Effendy Yusoff ini bertujuan (a) memberi peluang kepada ahli untuk memberi sumbangan bermakna kepada organisasi; (b) melibatkan pekerja dalam proses penyelesaian masalah atau penambahbaikan proses kerja dan standard yang sedia ada atau memperkenalkan sesuatu yang baharu; (c) menerapkan konsep knowledge-based dan creativity-driven bagi membolehkan organisasi menghasilkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada produk atau perkhidmatan; (d) memberi tumpuan kepada idea, pembelajaran, perkongsian ilmu dan pencapaian nilai menerusi strategi pengenalpastian dan penyelesaian masalah, teknik-teknik penganalisisan serta penghasilan idea-idea baharu yang kreatif dan inovatif; dan (e) penghasilan output berkualiti yang dapat dinikmati dengan ketara dan secara meluas. Dengan itu, impak dan sumbangan KIK terhadap pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negara akan lebih berkesan.

Antara pengisian sesi bengkel yang memperoleh laporan min 4.83 analisis LAM-PUS03-03 ialah konsep dan bengkel kumpulan inovatif kreatif, learning object bahasa Melayu dan bengkel KIK dan learning object.

Reaksi daripada peserta berpendapat bengkel seumpama ini perlu diadakan dari semasa ke semasa agar berlaku percambahan minda. Dari segi capaian internet pula adalah perlu ditingkatkan bagi membolehkan kursus-kursus ICT dapat berjalan dengan baik dan berkesan.