Selasa, 29 Oktober 2013

Buletin 8

Fokus Buletin 8 ialah terhadap lagu rakyat. Dalam masyarakat Melayu, lagu rakyat (salah satu genre dalam sastera rakyat) memainkan peranan penting bagi mesosialisasikan manusia. Pembinaan orang, dari kecil hingga dewasa, banyak dibantu oleh unsur-unsur budaya, selain manusia persekitaran itu sendiri. Salah satu unsur budaya berkenaan ialah lagu rakyat. Fungsinya sebagai hiburan dan sekali gus sebagai pendidikan. Malah, melalui lagu rakyat juga kita dapat memahami struktur masyarakat dan nasionalisme masyarakat di sesuatu tempat. Dalam anekdot lagu rakyat ini, fokus diberikan ialah terhadap Lagu Jambatan Tamparuli. Dalam Ruangan Aktiviti Jabatan pula dimuatkan Bengkel Kerja Morfologi dan Sintaksis yang dikendalikan oleh Encik Abdull Manaf bin Ahmad.
 

Jumaat, 25 Oktober 2013

Kursus Interaktif

Jabatan Pengajian Melayu, Jabatan Bahasa, Jabatan Teknologi Pendidikan dan Jabatan Kajian Sosial mengikuti Kursus Penggunaan Papan Putih Interaktif pada 22 November 2013 bertempat di Bilik Za'ba 23.
 
Kursus ini bagi mendedahkan dan mempertingkatkan mutu dan keberkesanan pengajaran para pensyarah.
 
Kursus satu hari ini disampaikan oleh Encik Benn sebagai fasilitator. Encik Benn merupakan wakil syarikat pembekal peralatan berkenaan.
 
Kursus ini mendedahkan cara penggunaan LCD dan papan putih pintar dengan betul serta program-program interaktif yang dapat dimanfaatkan dalam pengajaran. Misalnya berkenaan Dual-Touch Board, Lite-Touch Board dan cara menggunakannya.
 

Rabu, 23 Oktober 2013

Buletin 7


BULETIN 7 memberi focus terhadap sumbangan Encik Abdul Nasir Haji Paisal, sebagai mengenang jasanya kepada JPM. Beliau merupakan Pensyarah Cemerlang gred DG48. Encik Abdul Nasir merupakan seorang penulis muda di Sabah yang meningkat naik. Bidang penulisannya ialah sajak, cerpen dan esei akademik. Di halaman hadapan dimuatkan dua sajak dan sedikit biodata beliau yang pernah disiarkan dalam Utusan Borneo pada 21 April 2013. Tahniah. Manakala di halaman dua memuatkan tulisan beliau berkenaan proses kreatif, dengan judul "Bagaimana Saya Menulis?" Kini Encik Abdul Nasir Haji Paisal telah berpindah kerja sebagai jurulatih SISC+ di Pejabat Pendidikan daerah Semporna. Selamat bertugas di tempat baharu, tuan.

Selasa, 22 Oktober 2013

Buletin 6




















Fokus utama keluaran BULETIN 6 ialah terhadap penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat tempatan. Di Tawau terdapat bas mini yang menamakan dirinya, mungkin syarikat, sebagai "Bas Berhenti-Henti" yang terpapar di badan bas. Ada juga sebilangan kecil yang mencatatkan sebagai "Bas Henti-Henti." Penggunaan frasa ini bersamaan dengan iklan keselamatan di jalan raya pada tahun 1990-an, iaitu "Berhati-Berhati di Jalan Raya." Iklan ini mendapat reaksi pelbagai pihak berkaitan penggunaan bahasa. Frasa "Bas Berhenti-Henti" di badan bas mini di Tawau bersamaan dengan frasa iklan berkenaan. Frasa yang manakah benar dan tepat penggunaannya telah dibincangkan dalam Buletin 6. Dalam Ruangan Aktiviti jabatan pula merakamkan aktiviti Bengkel Kerja Fonologi, Fonetik dan Semantik. Bengkel ini dilaksanakan pada 17 Jun 2013, khusus untuk pensyarah di JPM. Fasilitatornya, Encik Pati Anak Alap. Namun, kini Encik Pati telah berpindah ke IPG Kampus Tun Abdul Razak, Sarawak.

Isnin, 21 Oktober 2013

Buletin 5




















BULETIN 5 memberi fokus terhadap gaya kepemimpinan di sekolah. Padangan ini berdasarkan pengalaman Guru Besar, SK. Bukit Lalang, Semporna, Tuan Haji Ramli Saad. Menurut beliau, amalan pentadbiran di SK Bukit Lalang ialah gaya kepemimpinan demokratik dan Islamik. Amat diterapkan amalan muafakat dan kolaboratif dalam kalangan pentadbir dengan kakitangan, dan kakitangan dengan kakitangan. Mengadakan siri motivasi membaca al-Quran setiap hari dan bacaan Yassin pada hari Jumaat. Pentadbir sentiasa menghargai sumbangan kakitangan yang Berjaya melaksanakan tugas mereka. Satu daripada perumpamaan menarik yang diberikan ialah guru ibarat madu menjadi penawar segala jenis 'penyakit'. Manakala di Ruangan Aktiviti Jabatan pula dimuatkan berita Bengkel Praktikum Bahasa Melayu. Bengkel ini disampaikan oleh Hajah Patimah Binti Dullah kepada pelajar Unit Bahasa Melayu.  Ia sebagai persiapan diri para pelajar menjalani praktikum yang lebih berkesan.

Rabu, 2 Oktober 2013

Pertandingan Pidato integriti 2013

Jabatan Pengajian Melayu dan Jabatan Bahasa telah menganjurkan Pertandingan Pidato Integriti 2013 peringkat IPGKT. Seramai 49 orang pelajar PISMP Tesl semester 2 telah menyertai pertandingan. Enam orang daripada mereka masuk ke peringkat akhir.


En. Mazania Kasimin, Ketua Panel Hakim
Pertandingan peringkat saringan berlangsung pada 17 dan 18 September, manakala pertandingan peringkat akhir pada 24 September 2013. Johan telah dimenangi oleh Azmirah Shafika binti Mohd Azman, Naib Johan (Nordiyanah Binti Nordin), Ketiga (Hasnol Bin Lahap) tiga Hadiah Penghargaan dimenangi oleh Cecilia Demish, Azri Hazim Bin Abu Bakar dan Aiifa Taqinah Binti Abu Bakar.