Rabu, 29 Januari 2014

Salam Amba

SALAM AMBA

memang tiada cita-cita, pun hasrat
apalagi memohon restu datang berkhidmat
...
namun takdir telah mencatat
bahawa engkau, wahai Maniyamin,
dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang,
dari Kota Bharu ke Tawau
dan kini kembali ke Kuala Lumpur
adalah tempat engkau berkhidmat

ya, inilah sekalian tempat
aku menabur ilmu amanah Ilahi
aku tanam benih puisi di jiwa insani
aku baja pohon cita-cita di kebun pedagogi
semuanya dengan satu hasrat - demi Ilahi
semoga ia subur berkembang mendaulati diri
pada engkau yang menerima dan aku yang memberi

besar manusia bukan kerana makan
atau berulang tapak memijak pasir Mekah
atau duduk di atas kerusi jati dari seberang
atau marah-marah buat menakutkan lawan
wahai Maniyamin
besar engkau kerana jasa mengorangkan manusia
dari benih sebesar zarah nikmatnya sebesar dunia
kerana engkau dilahirkan
menanam benih ilmu membaja pohon intelektual
maka engkau seharusnya menjadi seorang petani bijaksana
kekal menjadi aset di Kebun Syurga

seperti nyawa tak kekal di badan
aku tinggalkan IPGKT yang merezekikan pengalaman
tanah Balung yang hitam kehitaman
selamat tinggal
selamat tinggal sawit saujana memandang
selamat tinggal bangau memutih dedaunan
selamat tinggal helang putih dan kera merah
selamat tinggal ikan-ikan di Pasar Kunak
selamat tinggal bilis-bilis di Inderasabah
selamat tinggal Tamu Jalan Apas
selamat tinggal payau di Tamu Takada
selamat tinggal Air Asia dan Mas Tawau
selamat tinggal kain tak sempat sampai
selamat tinggal ghaout diam-diamlah engkau di sini duduk
selamat tinggal Utusan Borneo
selamat tinggal
kita berpisah tanpa lepas

terima kasih atas jasa dan pertolongan tuan-tuan
saya bermohon seikhlas kemaafan
semasa dan selepas ini kunjungan
Tuan Pengarah – Puan Hajah Mazni Binti Madat,
Tuan Timbalan – Dr. Mohd Johan Zakaria, Encik Anuar Ahmad

dan Tuan Haji Mohd Zin Badui
mantan KJPM – encik Mhd Yusuf Zakaria dan ahli jabatan
rakan-rakan pensyarah dan staf sokongan
Pakcik Pengawal keselamatan
dan pelajar sekalian
semoga hidup tuan-tuan dirahmati Allah
jasa tuan-tuan membuka pintu Syurga
dan amba pulang hanya membawa karung pahala.

Terima kasih kepada Kelab Pensyarah
kerana menganjur majlis yang sedemikian mesra
dan menjemput amba sekeluarga
ramai bertanya, ‘siapakah kabel amba gunakan’
inilah dia kabel, anak amba
bertubuh kecil, namun besar kuasa!
lemah tetapi menakutkan ibu bapa

akhir salam
kalau ada jarum yang patah
jangan disimpan dalam peti
pada sekian silap dan salah
amba bermohon dimaaf-maafi.

MANIYAMIN BIN IBRAHIM
23 JANUARI 2014

Isnin, 13 Januari 2014

Mesyuarat JPM Bil.1/2014

Dalam kesibukan pensyarah menguruskan kuliah dan segala macam pengurusan akademik, alhamdulillah JPM berjaya mengadakan Mesyuarat JPM Bil. 1 tahun 2014. Antara yang dibincangkan ialah Perancangan Strategik Aktiviti JPM tahun 2014, pengagihan subjek dan jadual kuliah, pengagihan tugas dan sebagainya. Mesyuarat adalah kali terakhir buat Encik Maniyamin Ibrahim sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu kerana beliau bakal berpindah ke IPG Kampus Bahasa Melayu pada akhir Januari.

Kepada semua, selamat bertugas dengan azam dan komitmen baharu. Sama-samalah menjadi aset jabatan, bukannya liabiliti jabatan.

Khamis, 2 Januari 2014

Perbincangan Moderasi Kerja Kursus

Memulakan aktiviti pada tahun baharu 2014, JPM telah mengadakan Perbincangan Moderasi Kerja Kursus Projek semester 1 tahun 2014. Sebanyak tiga kerja kursus telah dibentang, dibedah dan dibincangkan kewajarannya. Kerja kursus tersebut ialah untuk kertas GBM1103 Bahasa Melayu Kontekstual yang dibentangkan oleh Encik Maniyamin bin Ibrahim, kerja kursus BMM3113 Penyelidikan Tindakan 1 yang dibentangkan oleh Puan Yuznaili binti Saleh, dan BMM3104 Pengajaran Kemahiran Bahasa yang dibentangkan oleh Encik Abdullah bin Musa. Ahli jabatan yang hadir ialah Encik Maniyamin bin Ibrahim, Encik Abdullah bin Musa, Puan Yuznaili binti Saleh dan Encik Mazania bin Kasimin.