Selasa, 24 September 2013

Bengkel Pemantapan Tatabahasa: Ragam Ayat


Fasilitator kursus, Tuan Haji Abdullah Musa
Ilmu tatabahasa bahasa Melayu sering kali dipandang mudah. Namun, ilmu ini sebenarnya sukar difahami, walaupun oleh penutur jati sendiri. Menyedari hakikat ini, Jabatan Pengajian Melayu menganjurkan satu bengkel khusus tentangnya kepada ahli-ahli jabatan pada 13 September 2013.

Bengkel bertujuan memantapkan lagi penguasaan tatabahasa, khususnya tentang ragam ayat, telah dikendalikan oleh Penolong Ketua Jabatan, Tuan Haji Abdullah bin Musa, sebagai fasilitator.

Menurut Tuan Haji Abdullah bin Musa, sekurang-kurangnya terdapat tujuh kata kunci bagi mengenal ragam ayat, sama ada ayat berkenaan tergolong dalam ragam aktif atau pasif. Tujuh kata kunci tersebut ialah polanya berbentuk FN + FK; pada kata kerjanya terdapat imbuhan meN- atau ‘di’; bagi perkataan ‘makan,’ ‘mohon,’ dan ‘minum’ tidak mempunyai imbuhan; predikatnya mempunyai kata kerja sebagai inti; dan ayat aktifnya boleh dipasifkan.

Masalah utama dalam ilmu ragam ayat ialah mengenali ayat aktif transitif dan ayat aktif tidak transitif. Berkenaan hal ini, Tuan Haji Abdullah menegaskan bahawa perlu dicari kata kerja dan kata kerja ayat aktif transitif adalah boleh dipasifkan. Manakala bagi ayat aktif tidak transitif boleh disongsangkan, tetapi tidak boleh dipasifkan.

“Dalam ayat aktif tidak transitif terdapat frasa sendi. Misalnya ayat: ‘Saya bertugas di IPG Kampus Tawau’,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan